Pages

Disable right click

Friday 16 March 2012

Assalamuailakum dan salam sejahtera kepada semua, syukur alhamdulillah di atas segala nikmat yang telah diberikan olehNya. Ucapan syukur juga kerana diberikan peluang untuk saya berkongsikan sebuah lagi artikel menarik buat anda semua.

Sudah pasti ramai yang mengetahui bahawa surah Yasin yang terkandung di dalam al-Quranmerupakan sebuah surah yang selalu dibaca oleh umat Islam dan ia selalu dibaca pada malam Jumaat. Tetapi tahukah kita bahawa dengan mengamalkan membaca surah Yasin tidak kira masa, kita akan memperolehi pelbagai khasiat dan kebaikan.

Jika sebelum ini saya kongsikan barisan manusia menuju ke akhirat, kali ini saya kongsikan beberapa khasiat membaca surah Yasin yang telah saya temui melalui perkongsian rakan-rakan di Facebook. Terima kasih kerana menggunakan jaringan sosial itu dengan sebaik mungkin.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yasin kerana ia mengandungi keberkatan.” Iaitu:

  1. Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh menjadi kenyang.
  2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
  3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
  4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
  5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
  6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
  7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
  8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.
  9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
  10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.
  11. Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.”
  12. Sabda Rasulullah S.A.W lagi: “Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yasin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya.”
  13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yaasin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.
  14. Rasulullah S.A.W bersabda selanjutnya: “Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka. Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.

Begitu banyak khasiat dan kebaikan yang bakal kita perolehi melalui bacaan surah Yasin, seperti yang telah disebut seperti di atas Yasin umpama hati kepada al-Quran. Sudah semestinya salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada seseorang pastinya melalui hati, oleh itu marilah kita mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. melalui ibadah dan bacaan Yasin. InsyaAllah.

FROM :http://blog.mohdisa.com/kebaikan-membaca-surah-yasin.html

KELEBIHAN MEMBACA AL QURAN

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur’an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.
Kelebihan Membaca Al-Quran

Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran danKelebihan Membaca Al-Quran.

Antara Kelebihan Membaca Al-Quran

Firman Allah S.W.T : “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa”.

Jelas dari ayat diatas bahawa Al-Quran ialah sebuah kitab yang memberi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Ini kerana terdapat dari kalangan manusia yang tidak mendapat petunjuk dari Kitab suci Al-Quran kerana tidak mengetahui hakikat kelebihan membaca Al-Quran.

Sebuah Hadis diriwayatkan Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik”. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. “Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Hakikatnya kelebihan membaca Al-Quran tidak dapat disangkal lagi kerana ianya ialah Kalamullah yang suci dan tiada celanya.

Kelebihan Membaca Al-Quran

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda:
Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.

Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya.

Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya.

Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.

KERUGIAN BAGI ORANG YANG TIDAK MENGETAHUI KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.

Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong.

FROM:http://oh-bulan.com/kelebihan-membaca-al-quran-oh-bulan-ramadhan/

Pengajaran dari Al-Quran – Kisah Adam AS dan Iblis

Pengajaran dari Al-Quran – Kisah Adam AS dan Iblis

December 19, 2011 by MR. UNKNOWN


Antara kandungan Al-Quran ialah kisah-kisah para anbia’ yang lampau. Kisah-kisah ini bukanlah bertujuan sekadar menceritakan sesuatu kisah kepada kita seperti sebuah buku cerita. Tujuan sebenar kisah-kisah ini disampaikan kepada kita adalah agar kita boleh mendapat pengajaran, ataupun ‘ibrah daripadanya dan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

Salah satu kisah nabi yang diceritakan di dalam Al-Quran adalah kisah nabi Allah Adam AS yang mana saya pasti kita semua tidak asing lagi daripadanya. Namun, mungkin ada di kalangan kita yang tidak mempelajari ‘ibrah di sebalik kisah tersebut.

Kisah nabi Adam AS diceritakan sebanyak tujuh kali di dalam Al-Quran di tempat yang berbeza-beza. Kali pertama kisah Adam a.s disampaikan kepada kita mengikut turutan mushaf adalah di dalam surah Al-Baqarah dari ayat 30 sehingga 39. Di dalam surah ini, kita diberitahu bahawa Allah SWTvtelah menciptakan Adam AS sebagai khalifah di muka bumi. Setelah Adam AS dicipta, Allah SWT telah memerintahkan para malaikat agar bersujud kepada Adam. Maka semua yang hadir di situ menurut perintah Allah kecuali seorang jin yang berada di kalangan mereka iaitu Iblis la’natullah. Kerana ia enggan menurut perintah Allah SWT maka ia telah menjadi dari golongan yang kufur, seperti sabda Allah s.w.t :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Dain (ingatlah) apabila Kami berfirman kepada para malaikat: “Tunduklah kepada Adam “ Maka mereka sekalian tunduk melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Al-Baqarah, 34)

Beberapa ayat kemudian, kita akan dapati bahawa Adam AS dan isterinya Hawa dibenarkan oleh Allah SWT untuk memakan apa sahaja yang mereka kehendaki di syurga tetapi mereka diberi satu perintah yang khusus iaitu agar mereka menjauhkan diri mereka dari sebatang pokok sahaja.

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ

Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”. (Al-Baqarah, 35)

Kita semua tahu apa yang terjadi seterusnya ini di mana mereka berdua termakan pujukan syaitan lalu telah melanggar perintah yang Allah SWT berikan kepada mereka ini.

Sekiranya kita fikirkan kembali, kudua-dua Adam AS dan Iblis telah melanggar perintah Allah. Namun, apakah perbezaan antara Adam AS dan Iblis? Apakah yang menyebabkan Adam AS dan Hawa masih diberi peluang oleh Allah SWT manakala Iblis terus dikategorikan sebagai kafir?

Jawapannya ialah Adam AS dan Hawa mengakui akan kesalahan mereka. Mereka segera bertaubat dan meminta Allah agar mengampunkan mereka.

فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (Al-Baqarah, 37)

Iblis pula bukan sahaja tidak meminta ampun atas kesalahannya, bahkan ia cuba pula untuk memberi alasan mengapa ia tidak menurut perintah Allah.

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia (Adam) Engkau jadikan dari tanah.” (Al-A’raf, 12)

Apakah yang boleh kita pelajari dari kisah Adam AS dan Iblis ini?

Pertama sekali, kita harus mengakui hakikat bahawa sebagai manusia, kita tidak akan lari daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah SWT. Kadang-kala mungkin kita akan terlihat sesuatu yang tidak sepatutnya kita lihat. Kita mungkin berkata perkara-perkara yang tidak sepatunya kita katakan. Tetapi apabila kita terjerumus ke kancah dosa, kita haruslah segera menginsafi kesalahan kita, bertaubat, serta memohon keampunan daripada Allah SWT. Yakinlah bahawa Allah SWT sentiasa menerima taubat yang ikhlas.

Yang kedua, janganlah kita mengikut jejak langkah Iblis la’natullah dengan memberikan sebarang alasan sekalipun atas kesalahan yang kita telah lakukan. Jika kita pertimbangkan alasan yang diberikan oleh Iblis kepada Allah dalam ayat di atas, ia sememangnya merupakan sesuatu alasan yang boleh diterima oleh logik akal. Akan tetapi, ingatlah bahawa logik akal kita tidak akan sesekali mengatasi hukum Allah SWT.

Wallahua’lam.

FROM : http://muslimteendigest.my/pengajaran-dari-al-quran-kisah-adam-as-dan-iblis

KEPENTINGAN MELAKSANAKAN FARDU KIFAYAH

Mengikut Kamus Dewan, perkataan fardu bermaksud kewajipan yang dituntut (ditentukan) oleh agama. Fardu dibahagikan dua; fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain adalah fardu bagi orang perseorangan melakukan atas tanggungjawab peribadi seperti sembahyang lima waktu dan puasa. Manakala fardu kifayah ialah fardu bersama (iaitu wajib bagi orang banyak, tetapi memadai dilakukan oleh seorang atau sekumpulan orang ) seperti mengembumikan jenazah.

Setiap amalan atau perlaksanaan berkaitan fardu perlu dilakukan dengan sempurna. Perlaksanaannya melibatkan hukum sah dan batal atau halal dan haram. Oleh itu, penguasaan ilmu dan kemahiran berkaitannya amatlah penting bagi setiap umat Islam atau sebahagian daripadanya.

Hal ini bertepatan dengan perintah menuntut ilmu. Sabda Rasulullah bermaksud: �Menuntut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap Muslimin dan Muslimat.� (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi).

Dalam pengertian pendidikan Islam terdapat dua bidang ilmu iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah, iaitu mengikut bidang fardu yang perlu dilakukan oleh setiap orang Islam.

Ilmu fardu ain wajib dipelajari setiap orang Islam bagi dirinya untuk melaksanakan ibadat dan pengetahuan yang wajib atasnya. Manakala ilmu fardu kifayah ialah ilmu-ilmu selain daripada ilmu fardu ain yang bermanfaat dan memadai dipelajari oleh segolongan tertentu saja.

Ibadat fardu ain yang dilakukan tidak mengikut rukun dan syaratnya tidak sah. Sebab itu wajib setiap orang beriman mempelajari dengan mendalami setiap aspek berkaitan fardu ain. Perlaksanaan setiap fardu ain perlu dilakukan secara perseorangan mengikut kadar pengetahuan masing-masing.

Manakala ibadat fardu kifayah adalah perlaksanaan tugas yang memadai dilakukan oleh individu atau kumpulan lain. Dalam hal ini, pengkhususan tugas perlu diagih-agihkan antara kelompok orang Islam agar semua keperluan umat Islam dapat dipenuhi atau terlaksana.

Bidang fardu kifayah amat luas, meliputi semua bidang yang mempunyai kepentingan atau berkaitan dengan kehidupan manusia. Dengan kata lain, bidang ilmu fardu kifayah lebih luas berbanding ilmu fardu ain yang perlu diterokai untuk kepentingan seluruh umat Islam.

Sekiranya ada kepentingan orang Islam yang tidak dikuasai oleh mana-mana orang atau kelompok orang Islam, maka wajib dilakukan usaha untuk memenuhi keperluan berkenaan. Sesiapa mempelajari ilmu fardu kifayah untuk �melepaskan� tuntutan fardu kifayah, maka dia penyelamat untuk semua orang.

Pengetahuan dan perlaksanaan dalam bidang berkaitan sains dan teknologi, ekonomi, perundangan, perdagangan, kejuruteraan, perindustrian, ketenteraan dan kedoktoran adalah antara contoh fardu kifayah yang perlu ada orang Islam melaksanakan tugas dalam bidang itu.

Jelaslah, setiap umat Islam perlu menyumbang fikiran, kepakaran dan tenaga dalam pelbagai bidang yang diceburi mengikut kemampuan masing-masing agar semua fardu kifayah dilaksanakan. Persoalan perlaksanaan fardu kifayah tidak sepatutnya dipandang mudah kerana melibatkan kepentingan semua.

Biarpun soal memenuhi keperluan fardu kifayah sudah memadai dilakukan oleh individu atau kumpulan, sebenarnya setiap orang beriman tidak terlepas dalam tanggungjawab agar hal berkaitannya menjadi lebih sempurna.

Kesempurnaan bidang fardu kifayah melibatkan penyertaan ramai. Kehidupan manusia diumpama seperti alam anai-anai yang mempunyai tugas dan sumbangan masing-masing untuk membina sebuah masyarakat yang lengkap.

Disebabkan kekurangan tenaga pakar dalam pelbagai bidang, banyak keperluan umat Islam sekarang tidak dipenuhi. Dengan kata lain, umat Islam belum berjaya memenuhi tuntutan keperluan fardu kifayah untuk kepentingan semua pihak.

Kedudukan umat Islam sekarang bukan sebagai peneraju atau pengeluar, tetapi hanya sebagai pengguna yang terpaksa bergantung kepada apa yang �sudi� diberikan oleh pihak lain. Negara pengeluar berkuasa menentukan harga dan jenis keluarannya, yang lebih bersifat menindas dan menekan kepada negara pengguna.

Ini bermakna seluruh orang Islam masih �terhutang� dalam melaksanakan fardu kifayah. Umat Islam perlu berusaha untuk kembali menerajui dunia seperti yang pernah dicapai pada masa kegemilangan kerajaan Abasiyah di kota Baghdad dulu. Umat Islam perlu kembali mencintai ilmu dan menjadikan satu identiti baru umat Islam seluruh dunia.

Bertitik tolak kepenting ilmu, kedudukan orang mencari ilmu dan berilmu berada pada darjat lebih tinggi. Firman Allah bermaksud: �Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.� (Surah al-Mujadalah, ayat 11).

Bahkan, orang yang berusaha mencari ilmu dan mendapatnya disediakan jalan menuju ke syurga dan sentiasa dipohon keampunan oleh seluruh makhluk di muka bumi baginya.

Sabda Rasulullah bermaksud: �Barang siapa berjalan untuk tujuan menuntut ilmu, maka Allah akan membimbingnya ke jalan syurga. Sesungguhnya orang yang berilmu itu dimohon keampunan oleh makhluk di langit dan di bumi, termasuk ikan-ikan di laut dan sesungguhnya ulama itu adalah pewaris nabi.� (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Biasanya ramai beranggapan hanya ilmu fardu ain yang penting dipelajari. Sebab itu kelas fardu ain menjadi perhatian ibu bapa dan dianggap sebagai keperluan utama. Tidak dinafikan ilmu fardu ain wajib dituntut, tetapi persoalan timbul apabila mengatakan ilmu selain berkaitan agama (dianggap fardu ain) tidak perlu dipelajari.

Kejahilan tersebut berpunca fahaman taksub dan tidak memahami kaitan antara fardu ain dengan fardu kifayah. Ramai yang menganggap ilmu selain berkaitan agama adalah ilmu sekular yang akan menyebabkan seseorang memisahkan dirinya daripada agama. Fahaman itu sebenarnya dicipta oleh orientalis Barat yang ingin memisahkan umat Islam dengan ilmu yang banyak manfaatnya.

Sebenarnya ramai orang Islam tidak memahami bahawa semua ilmu datangnya daripada Allah dan semua itu penting untuk umat Islam. Sesungguhnya Islam tidak mengasingkan atau menyekat umatnya untuk mempelajari apa saja yang diingini. Bahkan, Islam sentiasa menggalakkan penerokaan ilmu seluas-luasnya, kecuali usaha untuk mengkaji zat Allah.

Sudah memadai manusia mengenali Allah melalui apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan dijelaskan oleh Rasulullah. Sekiranya manusia tetap berusaha mengkaji zat Allah, tiadalah apa yang diperoleh melainkan kesesatan yang semakin jauh.

Dalam kehidupan seharian, hanya sedikit yang berkaitan dengan fardu ain. Sebaliknya, kehidupan manusia lebih tertumpu kepada penggunaan ilmu fardu kifayah. Bahkan, kesempurnaan ibadat fardu ain banyak bermula dengan adanya kesempurnaan daripada fardu kifayah.

Contohnya, sembahyang yang menjadi fardu ain tidak sah dilakukan sekiranya orang bersembahyang tidak menutup aurat dengan pakaian atau sesuatu yang sepertinya. Pakaian yang membolehkan aurat ditutup hanya mampu dicipta atau dihasilkan jika pengetahuan berkaitan membuat kain dipelajari. Ilmu membuat kain termasuk dalam ilmu fardu kifayah.

Kekuatan dan kejayaan umat Islam lebih banyak bergantung kepada sejauh mana keupayaan fardu kifayah dilaksanakan. Keupayaan negara mencapai kejayaan dalam ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergantung kepada keupayaan pengurusan ekonomi dan kewangan yang teratur. Ini tentulah memerlukan lebih ramai pakar mengenai ilmu ekonomi dan pengurusan kewangan yang termasuk dalam ilmu fardu kifayah.

Kepentingan kepada penguasaan ilmu fardu kifayah dalam pelbagai bidang menyebabkan kerajaan begitu mengambil berat menyediakan pendidikan kepada rakyat. Bidang pendidikan kita tidak hanya menekankan kepada penguasaan ilmu fardu ain, tetapi dalam semua bidang.

Kepentingan Sains & Teknologi Dalam Pembangunan Ummah

Pelbagai bidang dalam sains dan teknologi, termasuk bioteknologi dan teknologi komunikasi maklumat (ICT), merupakan satu wahana pemudah cara dalam menjalani semua ruang lingkup kehidupan manusia. Diakui sejak dahulu, lebih-lebih lagi dalam sudut pandangan Islam, bahawa sains dan teknologi (S & T) telah dan akan terus membawa natijah kebaikan dan keburukan. Namun sebagai manusia bertamadun, setiap seorang dari kita dikurniakan akal fikiran untuk memilih. Justru, S & T amat ditekankan oleh Islam dan mesti diterokai dan digunakan selagi umat Islam sedar akan batas sempadan yang telah digariskan oleh Islam.

S & T mewakilkan pengetahuan dan pembelajaran. Usaha mendapatkan pengetahuan adalah sebahagian dari seruan Islam, dengan dibuktikan oleh penemuan dan kemajuan ilmu yang telah dirakamkan sejarah oleh para ahli sains Islam pada zaman awal Islam.


Melahirkan sebuah masyarakat madani atau masyarakat bertamadun bukanlah tugas yang mudah dan singkat, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai teknologi yang enak-enak dan mulus. Masyarakat bertamadun, terutamanya gagasan yang diutarakan oleh Malaysia, yang ingin dibentuk adalah berasaskan sebuah komuniti harmonis yang menghasilkan dan menggunakan S & T bagi kebaikan dan kesejahteraan sejagat.

Apa yang sangat penting dilihat sekarang ini ialah langkah dan usaha agresif kerajaan, kumpulan tertentu, dan yang terpentingnya ialah ahli masyarakat dalam merapatkan jurang perbezaan celik S & T, juga jurang digital yang dihasilkan oleh ICT. Usaha ini mesti diberi penumpuan kepada sasaran terhadap semua peringkat masyarakat. Perkara ini penting bagi memastikan bahawa rakyat memenuhi kriteria menjadikan diri dan persekitaran berilmu dan berpengetahuan, selari dengan perkembangan S & T dan ICT.

Dalam era moden ini, telah banyak diperkatakan orang bahawa umat Islam ketinggalan dalam banyak bidang S & T. Namun sedarkan kita bahawa para saintis barat yang menemui banyak penemuan yang merubah pandangan dan cara kita menjalani kehidupan, sebenarnya menggunakan dan mengasaskan kajian mereka dari penemuan para ilmuan Islam. Apa yang mereka buat ialah belajar, mengkaji, meminjam dan seterusnya melengkapkan pengetahuan S & T yang telah ditemui oleh saintis Islam tadi. Harus diingat, teknologi adalah milik semua dan teknologi tanpa isi, kosong.

Menyelusuri sejarah Islam dan barat, telah terbukti bahawa kemajuan ekonomi sesebuah masyarakat dan negara berkait secara terus dengan tahap pengetahuan serta kebolehan menyerap ilmu. Dari era pra-sejarah lagi manusia telah menggunakan pelbagai kaedah dan peralatan dalam memperolehi ilmu dan kemudian menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain dalam suatu komuniti.

Sebagai misalan, bila orang-orang zaman lampau buat pertama kalinya mengikat batu tajam ke batang kayu bagi menghasilkan tombak atau lembing untuk berburu, mereka tidak mencari sasaran dan kemudian menggunakan formula matematik untuk tenaga atau trajektori. Tetapi mereka mendapat kemahiran itu dengan kaedah cubaan dan kesilapan, seterusnya menjadi titik tolak kepada kemajuan tamadun dengan berkembangnya otak atau minda merentasi zaman. Inilah asas bidang pembangunan dan penyelidikan, hasil melalui cubaan dan kesilapan. Dan asas inilah yang dikaji oleh saintis barat, melalui penemuan yang ditinggalkan oleh saintis Islam, dalam mengkaji suatu penemuan baru. Namun harus selalu diingat, setiap proses cubaan itu seharusnya dilaksanakan dalam tatacara yang tidak memudaratkan, terutama sekali dalam proses perubatan dan bioteknologi yang berkait langsung dengan tubuh badan dan kehidupan.

Banyak rujukan boleh kita dapati dalam kitab suci Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W dari sudut betapa pentingnya Islam menempatkan usaha mencari pengetahuan, dan dalam memahami alam semula jadi dan cakerawala. Islam menggalakkan kaedah pertanyaan secara saintifik atau lebih tepat lagi kaedah kajian dan penelitian. Sesungguhnya kemajuan sains Islam telah diketahui umum. Dari tahun 750 Masihi hingga 1050 Masihi telah menyaksikan penemuan sains Islam dalam bidang geografi, kosmologi, fizik, matematik, astronomi dan perubatan. Kebanyakan pengetahuan tersebut adalah dalam kategori sains gunaan. Justru itu perkembangan sains pada era tersebut berkait langsung dengan teknologi, dan ianya benar sehingga kini.

S & T Islam telah membangkitkan era Pembaharuan Eropah yang mana sebelum itu kalangan Kristian melalui pegangan golongan agama gereja menganggap bahawa sains adalah suatu aliran sihir yang berunsur syaitan. Sejarah merakamkan bahawa ada ahli sains pada waktu itu dibunuh kerana mempunyai pendapat berbeza dengan pegangan gereja, walaupun itu adalah penemuan sains oleh cerdik pandai mereka.

Malangnya, bemulanya era Pembaharuan Eropah juga bermulanya zaman kemunduran sains Islam. Ini kerana wujud konflik antara ahli-ahli agama dengan saintis, sama seperti pertentangan yang ada di kalangan Kristian sebelum era pembaharuan. Dan lebih malang lagi wujudnya pendapat bahawa pengkajian saintifik adalah unsur-unsur barat yang harus ditentang. Pegangan ini masih lagi melingkari segelintir masyarakai Islam sehingga kini.

Kegagalan melihat S & T sebagai unsur pemangkin untuk kemajuan ekonomi dan kesejahteraan ummah melembabkan negara-negara umat Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan penemuan sains. Satu isu lagi yang sering diperkatakan ialah banyak penemuan S & T yang termasuk bidang ICT sekian lama dipelopori oleh negara barat, justru negara Islam hanya sebagai pengguna. Walaupun mutakhir ini sudah ada aplikasi ICT dan elektronik yang dihasilkan oleh negara umat Islam, namun ianya masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Satu usaha harus digembling segera terutamanya di kalangan negara OIC supaya dapat disediakan dana dan kepakaran manusia bagi merancakkan aktiviti R & D dalam bidang S & T dan ICT supaya ummah tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi dan sistem yang dihasilkan oleh pengusaha barat.

Negara umat Islam tidak kekurangan pakar-pakar dalam bidang fizik, kimia, nuklear, ICT dan seumpanya, cumanya ia tidak dikumpul dan diguna pakai bagi tujuan memajukan S & T seperti pada era kegemilangan Islam dahulu. Apa yang sering dipaparkan di dada akhbar ialah orang Islam pakar dalam bidang tertentu, tetapi dengan tujuan lain, kegiatan keganasan misalnya (walaupun ini mungkin kita boleh pertikaikan kerana itu adalah dilabel oleh pihak barat yang diterajui Amerika Syarikat).

Satu pendekatan yang saya kira elok dimulakan ialah melahirkan saintis Islam yang berjiwa Islam, bukan sekadar pakar dalam suatu bidang sains, malah juga sedikit sebanyak berpengetahuan dalam soal syariat. Dengan dada yang dipenuhi ilmu agama, atau dengan kata lain dada yang ada Quran, maka saintis yang dilahirkan dengan cara ini akan mengembalikan kajian dan penemuan mereka kepada Allah, Tuhan Pencipta Alam. Dengan itu tidak timbul soal saintis Islam yang berjiwa barat. Inilah saintis yang dihasilkan oleh Islam pada era kegemilangan Islam dahulu, iaitu saintis yang berjiwa ulamak.

Bila perkara ini dapat direalisasikan, maka ummah di seluruh dunia dapat manfaat dari penemuan ilmu tersebut. Baharulah pihak barat tidak akan menuding jari bahawa saintis Islam hanya pandai mereka bom atau senjata merbahaya hanya untuk tujuan keganasan. Pandangan ini harus segera diubah supaya era kegemilangan S & T Islam dapat dikembalikan dan akan menjadi tunjang bukan sahaja kepada tamadun umat Islam, malah tunjang kepada tamadun dunia keseluruhannya. Janganlah umat Islam yang berjumlah lebih satu bilion nyawa sekarang ini hanyalah umpama buih di lautan; ramai tetapi tidak membawa manfaat kepada umat dan dunia.

Kita pernah gemilang, dan insyaAllah, Islam boleh kembali gemilang dan cemerlang dengan syarat kita berusaha dan sama-sama mengembling tenaga ke arah satu matlamat murni; melahirkan generasi saintis Islam yang berjiwa Quran.

*Rencana ini pernah diterbitkan dalam Dewan Agama & Falsafah, Dewan Bahasa & Pustaka.

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia seterusnya guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Tahun Kedukaan Nabi Muhammad pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Nabi Muhammad sendirian berduka,

Bapa saudaranya meninggal dunia,

Isteri baginda pun pergi jua .

Rakan-rakan sekalian,

Nabi Muhammad SAW mengalami tahun dukacita yang amat menyedihkan. Peristiwa dukacita itu adalah wafatnya dua orang yang sangat dicintai dan dikasihi baginda. Pertama, peristiwa wafatnya Abu Talib, seorang bapa saudara, yang memeliharanya sejak kecil, sejak baginda berusia 8 tahun. Beliau jugalah yang sentiasa melindungi dirinya dari pelbagai ancaman jahat kaum musyrik Quraisy.

Ketika awal dakwah Nabi Muhammad, orang-orang musyrik tidak pernah berani menyakiti baginda.

Nabi bersabda : “Orang-orang Quraisy tidak menggangguku dengan hal yang menyakitkan, sehinggalah akhir hayat bapa saudaraku Abu Talib”. Untuk pengetahuan rakan-rakan sekalian, Abu Talib adalah seorang pemimpin Quraisy yang amat disegani, serta memiliki pengaruh yang kuat tehadap kaum Quraiys.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Peristiwa kedua terjadi tidak begitu lama setelah wafatnya Abu Talib. Isteri baginda juga iaitu Sayyidatina Khadijah juga telah wafat. Beliau ialah satu-satunya isteri yang mendampingi perjalanan dakwah Nabi sejak usia baginda 25 tahun. Sayyidatina Khadijah adalah isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi Islam. Betapa agungnya kasih sayang Nabi terhadap isterinya sehingga beliau mengatakan :

“Allah tidak menggantikan bagiku seorang isteri seperti Khadijah. Diaorang yang pertama beriman, ketika semua orang mendustakan agamaku.Dia seorang yang paling mengasihi dan mencintaiku, ketika orang-orang membenciku. Dia juga yang mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi kebesaran agamaku”.

Rakan-rakan sekalian,

Peristiwa wafatnya dua orang yang amat dicintai Nabi akhir zaman itu, menandakan permulaan “tahun dukacita” baginda. Kesannya, orang-orang kafir bertindak secara terang-terangan mengancam Nabi SAW, kerana dua orang yang melindunginya telah tiada. Mereka tidak segan-segan menghina dan melemparkan tanah atau kotoran pada kepala Nabi, ketika baginda berjalan atau solat.

Pada masa kini, kita dapat melihat ada juga orang kafir di Jerman menghina Nabi Muhammad dengan melukis lakaran kartun baginda di akhbar. Mereka langsung tidak memikirkan sensiviti umat Islam di dunia. Kita sebagai umat Islam harus mempertahankan maruah baginda supaya tidak sewenang-wenangnya mereka menghina Nabi kita.

Rakan-rakan sekalian,

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Kita juga wajib percaya bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara. Tiada perkara yang mustahil dunia ini.

Kedua : Kita juga hendaklah berani untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan Islam kepada sesiapa saja.

Ketiga : Janganlah kita mencaci atau menghina orang lain kerana Allah swt akan membalasnya di akhirat kelak. Kita harus menolong mereka yang ditimpa musibah.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...