Pages

Disable right click

Friday 16 March 2012

KEPENTINGAN MELAKSANAKAN FARDU KIFAYAH

Mengikut Kamus Dewan, perkataan fardu bermaksud kewajipan yang dituntut (ditentukan) oleh agama. Fardu dibahagikan dua; fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain adalah fardu bagi orang perseorangan melakukan atas tanggungjawab peribadi seperti sembahyang lima waktu dan puasa. Manakala fardu kifayah ialah fardu bersama (iaitu wajib bagi orang banyak, tetapi memadai dilakukan oleh seorang atau sekumpulan orang ) seperti mengembumikan jenazah.

Setiap amalan atau perlaksanaan berkaitan fardu perlu dilakukan dengan sempurna. Perlaksanaannya melibatkan hukum sah dan batal atau halal dan haram. Oleh itu, penguasaan ilmu dan kemahiran berkaitannya amatlah penting bagi setiap umat Islam atau sebahagian daripadanya.

Hal ini bertepatan dengan perintah menuntut ilmu. Sabda Rasulullah bermaksud: �Menuntut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap Muslimin dan Muslimat.� (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi).

Dalam pengertian pendidikan Islam terdapat dua bidang ilmu iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah, iaitu mengikut bidang fardu yang perlu dilakukan oleh setiap orang Islam.

Ilmu fardu ain wajib dipelajari setiap orang Islam bagi dirinya untuk melaksanakan ibadat dan pengetahuan yang wajib atasnya. Manakala ilmu fardu kifayah ialah ilmu-ilmu selain daripada ilmu fardu ain yang bermanfaat dan memadai dipelajari oleh segolongan tertentu saja.

Ibadat fardu ain yang dilakukan tidak mengikut rukun dan syaratnya tidak sah. Sebab itu wajib setiap orang beriman mempelajari dengan mendalami setiap aspek berkaitan fardu ain. Perlaksanaan setiap fardu ain perlu dilakukan secara perseorangan mengikut kadar pengetahuan masing-masing.

Manakala ibadat fardu kifayah adalah perlaksanaan tugas yang memadai dilakukan oleh individu atau kumpulan lain. Dalam hal ini, pengkhususan tugas perlu diagih-agihkan antara kelompok orang Islam agar semua keperluan umat Islam dapat dipenuhi atau terlaksana.

Bidang fardu kifayah amat luas, meliputi semua bidang yang mempunyai kepentingan atau berkaitan dengan kehidupan manusia. Dengan kata lain, bidang ilmu fardu kifayah lebih luas berbanding ilmu fardu ain yang perlu diterokai untuk kepentingan seluruh umat Islam.

Sekiranya ada kepentingan orang Islam yang tidak dikuasai oleh mana-mana orang atau kelompok orang Islam, maka wajib dilakukan usaha untuk memenuhi keperluan berkenaan. Sesiapa mempelajari ilmu fardu kifayah untuk �melepaskan� tuntutan fardu kifayah, maka dia penyelamat untuk semua orang.

Pengetahuan dan perlaksanaan dalam bidang berkaitan sains dan teknologi, ekonomi, perundangan, perdagangan, kejuruteraan, perindustrian, ketenteraan dan kedoktoran adalah antara contoh fardu kifayah yang perlu ada orang Islam melaksanakan tugas dalam bidang itu.

Jelaslah, setiap umat Islam perlu menyumbang fikiran, kepakaran dan tenaga dalam pelbagai bidang yang diceburi mengikut kemampuan masing-masing agar semua fardu kifayah dilaksanakan. Persoalan perlaksanaan fardu kifayah tidak sepatutnya dipandang mudah kerana melibatkan kepentingan semua.

Biarpun soal memenuhi keperluan fardu kifayah sudah memadai dilakukan oleh individu atau kumpulan, sebenarnya setiap orang beriman tidak terlepas dalam tanggungjawab agar hal berkaitannya menjadi lebih sempurna.

Kesempurnaan bidang fardu kifayah melibatkan penyertaan ramai. Kehidupan manusia diumpama seperti alam anai-anai yang mempunyai tugas dan sumbangan masing-masing untuk membina sebuah masyarakat yang lengkap.

Disebabkan kekurangan tenaga pakar dalam pelbagai bidang, banyak keperluan umat Islam sekarang tidak dipenuhi. Dengan kata lain, umat Islam belum berjaya memenuhi tuntutan keperluan fardu kifayah untuk kepentingan semua pihak.

Kedudukan umat Islam sekarang bukan sebagai peneraju atau pengeluar, tetapi hanya sebagai pengguna yang terpaksa bergantung kepada apa yang �sudi� diberikan oleh pihak lain. Negara pengeluar berkuasa menentukan harga dan jenis keluarannya, yang lebih bersifat menindas dan menekan kepada negara pengguna.

Ini bermakna seluruh orang Islam masih �terhutang� dalam melaksanakan fardu kifayah. Umat Islam perlu berusaha untuk kembali menerajui dunia seperti yang pernah dicapai pada masa kegemilangan kerajaan Abasiyah di kota Baghdad dulu. Umat Islam perlu kembali mencintai ilmu dan menjadikan satu identiti baru umat Islam seluruh dunia.

Bertitik tolak kepenting ilmu, kedudukan orang mencari ilmu dan berilmu berada pada darjat lebih tinggi. Firman Allah bermaksud: �Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.� (Surah al-Mujadalah, ayat 11).

Bahkan, orang yang berusaha mencari ilmu dan mendapatnya disediakan jalan menuju ke syurga dan sentiasa dipohon keampunan oleh seluruh makhluk di muka bumi baginya.

Sabda Rasulullah bermaksud: �Barang siapa berjalan untuk tujuan menuntut ilmu, maka Allah akan membimbingnya ke jalan syurga. Sesungguhnya orang yang berilmu itu dimohon keampunan oleh makhluk di langit dan di bumi, termasuk ikan-ikan di laut dan sesungguhnya ulama itu adalah pewaris nabi.� (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Biasanya ramai beranggapan hanya ilmu fardu ain yang penting dipelajari. Sebab itu kelas fardu ain menjadi perhatian ibu bapa dan dianggap sebagai keperluan utama. Tidak dinafikan ilmu fardu ain wajib dituntut, tetapi persoalan timbul apabila mengatakan ilmu selain berkaitan agama (dianggap fardu ain) tidak perlu dipelajari.

Kejahilan tersebut berpunca fahaman taksub dan tidak memahami kaitan antara fardu ain dengan fardu kifayah. Ramai yang menganggap ilmu selain berkaitan agama adalah ilmu sekular yang akan menyebabkan seseorang memisahkan dirinya daripada agama. Fahaman itu sebenarnya dicipta oleh orientalis Barat yang ingin memisahkan umat Islam dengan ilmu yang banyak manfaatnya.

Sebenarnya ramai orang Islam tidak memahami bahawa semua ilmu datangnya daripada Allah dan semua itu penting untuk umat Islam. Sesungguhnya Islam tidak mengasingkan atau menyekat umatnya untuk mempelajari apa saja yang diingini. Bahkan, Islam sentiasa menggalakkan penerokaan ilmu seluas-luasnya, kecuali usaha untuk mengkaji zat Allah.

Sudah memadai manusia mengenali Allah melalui apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan dijelaskan oleh Rasulullah. Sekiranya manusia tetap berusaha mengkaji zat Allah, tiadalah apa yang diperoleh melainkan kesesatan yang semakin jauh.

Dalam kehidupan seharian, hanya sedikit yang berkaitan dengan fardu ain. Sebaliknya, kehidupan manusia lebih tertumpu kepada penggunaan ilmu fardu kifayah. Bahkan, kesempurnaan ibadat fardu ain banyak bermula dengan adanya kesempurnaan daripada fardu kifayah.

Contohnya, sembahyang yang menjadi fardu ain tidak sah dilakukan sekiranya orang bersembahyang tidak menutup aurat dengan pakaian atau sesuatu yang sepertinya. Pakaian yang membolehkan aurat ditutup hanya mampu dicipta atau dihasilkan jika pengetahuan berkaitan membuat kain dipelajari. Ilmu membuat kain termasuk dalam ilmu fardu kifayah.

Kekuatan dan kejayaan umat Islam lebih banyak bergantung kepada sejauh mana keupayaan fardu kifayah dilaksanakan. Keupayaan negara mencapai kejayaan dalam ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergantung kepada keupayaan pengurusan ekonomi dan kewangan yang teratur. Ini tentulah memerlukan lebih ramai pakar mengenai ilmu ekonomi dan pengurusan kewangan yang termasuk dalam ilmu fardu kifayah.

Kepentingan kepada penguasaan ilmu fardu kifayah dalam pelbagai bidang menyebabkan kerajaan begitu mengambil berat menyediakan pendidikan kepada rakyat. Bidang pendidikan kita tidak hanya menekankan kepada penguasaan ilmu fardu ain, tetapi dalam semua bidang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...