Pages

Disable right click

Friday 16 March 2012

KISAH KETABAHAN SITI HAJAR

KISAH KETABAHAN SITI HAJAR


Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia seterusnya guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Kisah Siti Hajar pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Seorang isteri dan juga anaknya,

Ditinggalkan suami perintah Ilahi,

Tabah dan sabar ketika diuji.

Rakan-rakan sekalian,

Siti Hajar ialah isteri kepada seorang nabi Ulul Azmi, iaitu Nabi Ibrahim.
Siti Hajar tidak lahir dari keluarga bangsawan, bukan juga dari keluarga ternama, malah hanya seorang hamba sebelum dia berkahwin dengan Nabi Ibrahim.

Siti Hajar sanggup dibawa jauh dari kota kediaman dan berada jauh dari suami tercinta. Siti Hajar yakin Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanannya.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Pada suatu hari, Allah telah mengarahkan suaminya meninggalkan Siti Hajar di tempat yang jauh dari rumah mereka. Beliau langsung tidak mempersoalkan apa-apa dan tidak bersangka buruk kepada Allah dan suaminya. Luar biasa sungguh ketaatan beliau.

Siti Hajar telah ditinggalkan di sebuah padang pasir yang tandus dan menyerahkan diri dan bayinya kepada Allah. Beliau yakin Allah tidak akan mempersia-siakan dirinya.

Rakan-rakan sekalian,

Walaupun ditinggalkan di padang pasir yang tandus dengan kudrat seorang wanita, dia tetap bangkit meneruskan kehidupan dalam segala kepayahan. Semua ini tidak mungkin dapat diharungi oleh wanita biasa-biasa yang tidak memiliki jiwa yang cukup tabah.

Siti Hajar sabar dalam menempuh kehidupan tanpa suami disisi untuk membantu membesarkan anak mereka. Dia sabar mengadu dan meluahkan perasaannya hanya kepada Allah. Kesabarannya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu sangat luar biasa.

Rakan-rakan sekalian,

Siti Hajar sentiasa memandang positif segala ketentuan Allah. Dengan jiwa ini, darjat Siti Hajar diangkat tinggi oleh Allah walaupun dia lahir sebagai seorang hamba, status yang dipandang rendah oleh manusia. Namun hakikatnya beliau mendapat kedudukan luar biasa di sisi Allah dan di sisi manusia.

Pada masa kini kita dapat melihat ramai wanita yang sudah berani ke depan walaupun pelbagai ujian yang menimpa. Contohnya ibu tunggal yang kematian suami. Ramai di kalangan mereka yang sudah menjadi usahawan yang berjaya dan tidak pernah mengenal putus asa.

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah sabar menghadapi ujian Allah dan tidak boleh berputus asa.

Kedua : Kita hendaklah taat kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa sebarang prasangka buruk.

Ketiga : Kita hendaklah bertawakkal kepada Allah sesudah berusaha.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...